ijtimak tarbawi dpp

ijtimak tarbawi dpp

Saturday, February 6, 2010

Kerajaan digesa jejaki sindiket jual enjin F5-E

HarakahDaily
Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 6 Feb: Penemuan semula enjin jet pejuang F-5E seperti yang dimaklumkan kerajaan Uruguay, PAS berharap Malaysia lebih mudah menjejaki mereka yang terbabit mencuri dan menjual enjin tersebut dalam pasaran gelap di luar negara.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket menjual enjin sehingga ke Uruguay itu membabitkan pegawai atasanTentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kakitangan kerajaan di Kementerian Pertahanan sendiri.

“Saya tidak fikir enjin yang begitu besar itu boleh keluar dari Malaysia dengan sendirinya, berkemungkinan ada di kalangan pegawai atasan tentera TUDM atau di kementerian sendiri bertanggungjawab mencuri dan menjual kedua-dua enjin ini dalam pasaran gelap sejauh di Uruguay.

“Tentu ada yang membawa ke Uruguay dan jumpaan kedua-dua enjin itu sudah tentu memudahkan kerajaan (Malaysia) menghidu isyarat dan mereka yang terbabit,” jelasnya beliau ketika dihubungi Harakahdaily malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempersoalkan keadaan fizikal enjin yang ditemui itu.

“Cumanya kita (PAS) juga nak tahu yang enjin itu dijumpai dalam rupa yang bagaimana, dalam rupa bangkai enjinkah atau enjit tersebut dipasang pada badan jet pejuang yang lain,” soal Mahfuz.

Beliau turut mencadangkan kerajaan Malaysia melantik suatu konsultan peringkat antarabangsa yang diyakini bebas untuk menyiasat sindikit jual beli enjin tersebut yang melibatkan kerajaan Malaysia dan kerajaan Uruguay sendiri.

“Saya lihat perlunya kerajaan (Malaysia) melantik suatu konsultan peringkat antarabangsa untuk menyiasat sindikit antara kedua-dua negara, tidak boleh diserahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis kerana ia membabitkan kerajaan Uruguay sendiri.

Sebelum pada itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub turun mengingatkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya menerima cadangan pembangkang untuk sekurang-kurangnya menubuhkan suatu Suruhanjaya Diraja yang bebas dan adil untuk mengenal pasti mereka yang terbabit.

“Walaupun Malaysia sudah menerima notis dari Uruguay kedua-dua enjin sudah dijumpai, cadangan pembangkang menubuhkan Suruhanjaya Diraja itu perlu terus ditubuhkan kerana mereka yang terbabit masih bebas dan tidak didakwa.

“Tidak cukup AG (Peguam Negara) mengucapkan penghargaan kepada kerajaan, polis dan TUDM sendiri disebabkan penemuan semula enjin-enjin itu, itu tidak memadai,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sekiranya kerajaan dilihat sambil lewa dalam menjejaki mereka yang bersalah, menurut Salahuddin, isu sindiket jual beli enjin dalam pasaran gelap yang dipercayai membabitkan ahli politik dan pegawai atasan TUDM tersebut bakal menjadi isu yang panas dalam sidang parlimen Mac depan.

Bernama melaporkan Abdul Gani mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia sudah menerima notis penemuan semula enjin tersebut dari kerajaan Uruguay.

Beliau menganggap penemuan kedua-dua material keselamatan negara itu yang hilang sejak 2007 lalu membuktikan bahawa kerajaan begitu komited menyelesaikan kes tersebut.

“Kejayaan yang dicapai setakat ini, hingga membawa kepada penemuan dua enjin jet milik TUDM itu, adalah hasil usaha dan kerjasama rapat antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Uruguay,” katanya sebagaimana dipetik dari Bernama.

No comments:

Post a Comment