Air: Selangor sambut baik tawaran Pahang |
Harakahdaily |
SHAH ALAM, 4 Ogos: Kerajaan Selangor mengalu-alukan tawaran Kerajaan Pahang supaya loji rawatan air dibina di negeri itu seperti yang dikatakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Selangor tetap dengan pendirian bahawa projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang dianggarkan berharga lebih RM8 bilion tidak perlu dibina secara terburu-buru kerana yakin bekalan air di Selangor mencukupi sehingga 2019. Katanya, projek penyaluran air mentah antara dua negeri itu juga sepatutnya boleh ditangguhkan buat sementara waktu sehingga proses penstrukturan semula industri air di Selangor selesai dilaksanakan. Kerajaan negeri, katanya sangat yakin penangguhan sementara pelaksanaan projek ini tidak akan menjejaskan bekalan air kerana kajian yang dilakukan mendapati bekalan air di Selangor mencukupi sehingga 2019. Kerajaan Selangor juga, ujarnya sedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk mencari sumber alternatif lain yang tidak memerlukan kos tinggi seperti memproses air hujan, sumber air bawah tanah dan paling utama mengadakan langkah-langkah untuk menurunkan lagi kadar air tidak berhasil (NRW). Begitupun, tambahnya, Kerajaan Pakatan Rakyat kesal dengan sikap Kerajaan Persekutuan yang sengaja menggunakan isu krisis bekalan air sebagai tekanan kepada Selangor supaya menerima pelan penstrukturan semula industri air yang dicadangkan Persekutuan. Menurutnya, Kerajaan Selangor percaya pendekatan Kerajaan Persekutuan yang sengaja melengah-lengahkan rundingan itu hanyalah bertujuan melindungi syarikat kroni bukan melindungi kepentingan rakyat. “Rundingan untuk mengambil alih industri air ini akan terus dilakukan walaupun banyak halangan dikenakan kerana Kerajaan Selangor berpegang kepada prinsip bahawa air adalah hak rakyat dan perlu dikembalikan kepada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini |
No comments:
Post a Comment