- Membuat persiapan dengan membersih rumah dan menghiasinya dengan perkara yang digemari kanak-kanak seperti meniup belon kemudian digantung di bilik-bilik mereka atau di mana-mana ruang yang sesuai seperti di dapur.
- Menggantung poster-poster menarik yang mengandungi hadis-hadis berkenaan puasa atau foto-foto yang boleh dikaitkan dengan puasa.
Dua perkara di atas merupakan usaha mewujudkan suasana meriah dan gembira bagi kanak-kanak. Juga makluman untuk mereka bahawa kita sedang berada di ambang Ramadan, bulan yang sangat diberkati. Moga ruh merasa gembira dengan kedatangan Ramadan itu dapat terus subur sehingga mereka dewasa. - Sediakan permainan yang boleh melalaikan mereka dari mengingati makan dan minum.
- Mengadakan perjumpaan keluarga untuk diberi tazkirah dan menambah ilmu. Waktu yang baik dan sesuai ialah selepas Subuh dan selepas Maghrib. Jika tidak dapat buat setiap hari, lakukan 3 atau 4 kali seminggu dan lain-lain.
Seelok-eloknya bapa yang bercakap kepada ahli keluarga. Perlakuan ini disandarkan kepada sikap Luqman al-Hakim yang kisahnya dimasyhurkan al-Quran. Ia memberi petunjuk bahawa percakapan bapa memberi kesan yang mendalam kepada isteri dan anak-anak. Adalah salah jika si bapa hanya mengharapkan isteri yang menasihati atau mengajar anak-anak.
Teladan para nabi dan rasul juga menunjukkan bahawa sebagai pemimpin rumahtangga dan pemimpin ummah, kaum lelaki harus menyediakan ruang berbicara dengan ahli keluarga serta mengajar mereka. Kata-kata yang lahir dari jiwa suami dan bapa mempunyai kesan psikologi yang besar apabila dinyatakan secara hikmah.
Jika didapati isteri dan anak-anak sukar mendengar kata, selidik terlebih dahulu sejauh mana taqwa kita kepada Allah. Mungkin kita menderhakai Allah di belakang anak isteri seperti mata yang liar memandang perempuan lain, suka bercakap perkara lagha, tidak menjaga batas pergaulan, tidak menjaga hati ibubapa, mencari rezeki yang syubhah atau haram dan lain-lain lagi. - Beri perhatian kepada anak-anak perempuan yang hampir baligh. Ajar mereka fiqh berkaitan puasa.
- Mewujudkan taman al-Quran di bulan Ramadan. Caranya ialah menganjurkan anak-anak yang sudah pandai membaca al-Quran untuk membacanya setiap hari.
Bagi anak-anak yang belum pandai, ajak mereka duduk sekali dengan kita agar mereka dapat mendengar bacaan kita atau bacaan dari adik-beradiknya yang lain. - Memberi sedikit huraian mengenai ayat-ayat yang telah dibaca. Pilih topik yang mempunyai kaitan dengan kehidupan mereka.
- Mengajak anak-anak menghafaz surah-surah tertentu seperti surah al-Mulk dan sebagainya. Untuk Ramadan seterusnya, boleh ditambah dengan hafazan surah-surah lain pula.
- Meminta anak-anak menghafaz doa tertentu dan meminta mereka membaca doa. Kemudian doa itu diaminkan oleh ahli keluarga yang lain.
- Biasakan anak-anak menderma di bulan Ramadan. Untuk itu, perbelanjaan sekolah perlu juga diberi biarpun mereka berpuasa. Kalau tidak diberi penuh seperti hari biasa, memberi separuh perbelanjaan pun dikira memadai. Latih mereka berjimat cermat. Sebahagian perbelanjaan disimpan dan sebahagian lagi didermakan. Ceritakan kepada mereka kisah-kisah motivasi tentang kelebihan orang yang suka bersedekah.
- Sama-sama menunaikan solat terawih dan fardu Subuh berjemaah. Beri perhatian pada solat 5 waktu agar ditunaikan dengan lebih baik.
- Beri kefahaman kepada anak lelaki dan perempuan bahawa berpuasa tidak akan sempurna tanpa diiringi akhlak yang baik.
- Jika anak-anak suka menonton televisyen, maka pantaulah cerita yang ditontonnya. Beri garis panduan mengenai kisah-kisah yang baik ditonton dan yang tidak baik.
- Beri perhatian lebih pada anak-anak yang meningkat remaja. Perbaiki hubungan dengan mereka. Beri penghormatan atas kelebihan mereka dan beri kepercayaan pada sikap amanah mereka. Jadikan mereka sebagai kawan. Bersikap empati dan memberi sepenuh perhatian terhadap luahan hati mereka. Zahirkan kasih sayang pada mereka dan nasihati kesilapan mereka dengan lemah lembut.
- Akhir sekali, mohon pertolongan Allah agar memudahkan kita mendidik anak-anak serta diberikan hidayah untuk ahli keluarga.
Insyaallah kita jadikan Ramadhan pada tahun ini yang terbaik dari seluruh Ramadhan sebelumnya
No comments:
Post a Comment