ijtimak tarbawi dpp

ijtimak tarbawi dpp

Wednesday, November 25, 2009

Yuran Persekolahan

Seingatnya diawal penggal persekolah pada wal tahun, pak menteri telah mengumumkan tiada lagi yuran persekolahan yang perlu dibayar. Selepas itu timbul pula isu dimana sekolah telah menetapkan beberapa bayaran yang agak mengejutkan seperti bayaran tandas, peralatan sukan dan yang lain lagi. Jadi pak menteri ada mengeluarkan kenyataan kementerian tidak mempunyai kaitan dengan bayaran berkenaan, itu hanyalah daripada sekolah tersebut sahaja.

Kedengaran juga keluhan guru apabila situasi ni menimbulkan kekecohan dikalangan guru dan ibubapa. Menurut seorang guru kelas di sebuah sekolah menengah di Hulu Selangor, sekolah terpaksa mengutip bayaran disebabkan bayaran yang sepatutnya dimasukkan dalam yuran wajib kementerian telah dihapuskan. Sekolah terpaksa menampung kos operasi dan terpaksa juga pelajar membayar.

Laporan dibawah dipetik dari kitab propaganda arus perdana UTUSAN MELOYA. Setelah yuran persekolahan dihapuskan, masih ada lagi pelajar yang terpaksa belajar di sekolah tanpa buku teks kerana tidak mampu membayar "yuran persekolahan percuma". Sekolah di negara ini sepatutnya dikenali sebagai bebas yuran (fee free) bukannya tiada yuran (no fee). Nak faham lanjut cuba tengok nutrition facts di label barang di supermarket. Fahami beza antara "cholestrol free" dan "no cholestrol".



Walaubagaimana pun diakhir ceritanya sekolah juga dipersalahkan.!!!!!!!!!!!!
------------------------------------------------------------------------------------------

Hasrat ke sekolah tak kesampaian?


MAHADZIR Ahmad dan isterinya, Anita Hamzah yang hidup dalam keadaan daif merenung masa depan anak-anaknya di Kampung Tok Rasul, Sungai Badak, Kulim Kedah semalam. Turut bersama (belakang dari kiri) Mohd. Syafiq dan adiknya, Mohd. Syahrul Ramazan.


KULIM 24 Nov. - Ketika rakan sebaya menyambut cuti sekolah dengan penuh ceria, dua beradik dari Kampung Tok Rasul, Sungai Badak, Lunas dekat sini hanya mampu termenung memikirkan masa depan mereka.

Ini kerana, bagi Mohd. Syafiq Mahadzir, 11, dan Mohd. Syahrul Ramazan, 9, hajat mereka untuk menyambung pelajaran pada sesi persekolahan baru Januari ini di Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Malik (SKTAM) mungkin tidak kesampaian kerana keluarga dihimpit kemiskinan.

Tambah menyedihkan, dua beradik berkenaan tidak dibekalkan buku teks menerusi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) bagi sesi pengajian 2010 oleh pihak sekolah baru-baru ini kerana keluarga tidak mampu melangsaikan hutang yuran.

Bapa murid terbabit, Mahadzir Ahmad, 47, berkata, dua anaknya dilanda kemurungan sejak awal minggu lalu kerana mengenangkan nasib mereka yang mungkin tidak dapat belajar pada sesi depan.

"Anak-anak saya sedih kerana tak dapat buku teks untuk darjah enam dan darjah empat seperti kawan lain. Cikgu sekolah memberikan alasan bahawa mereka tak dapat buku kerana masih ada yuran tertunggak.

"Memang saya akui belum melangsaikan hutang yuran kerana saya tak mampu," katanya ketika ditemui pemberita di rumah usangnya di sini semalam.

Mahadzir berkata, selain Mohd. Syafiq dan Mohd. Syahrul Ramazan, dia terpaksa menanggung kehidupan dan persekolahan lima lagi anaknya.

Katanya, anak sulungnya, Mohd. Aizat, 19, kini belajar di Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang, Perak sementara dua lagi anaknya, iaitu Siti Noratikah, 14, dan Mohd. Asyraf, 12, belajar di sekolah menengah.

"Selain itu dua anak kecil iaitu Norulsafuan, 3, dan yang bongsu Mohd. Syahrizan, 1, masih memerlukan susu. Cuma Noraizahanim, 17, tidak belajar kerana baru habis Sijil Pelajaran Malaysia," katanya.

Mahadzir yang hidup dalam keadaan daif di rumah usang lagi sempit memberitahu, dengan pendapatan bulanan kira-kira RM500 sebagai tukang kayu, dia tidak mampu untuk menanggung kos persekolahan semua anak-anaknya itu.

"Isteri saya, Anita Hamzah , 39, tidak bekerja. Kadang-kala kami mengikat perut dan berjimat-cermat untuk memastikan anak-anak dapat makan dan minum," katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas, Abdul Rahman Mahamud ketika mengunjungi keluarga itu berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan dari Lembaga Pembangunan Wilayah Kedah (Keda) untuk keluarga itu dalam tempoh terdekat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Serai memberitahu, selain bantuan membaiki rumah, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu, Abu Bakar Mohd. Ali ketika dihubungi menegaskan, dua beradik itu layak mendapat bantuan buku teks berdasarkan latar belakang keluarga berkenaan yang daif.

''Guru-guru tidak wajar mengenakan syarat tertentu seperti menjelaskan yuran tertangguh terlebih dahulu untuk mendapatkan buku teks. Ini bercanggah dengan dasar Kementerian Pelajaran berhubung pelaksanaan SPBT,'' katanya.

Beliau turut memberi jaminan akan menyiasat kes tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan murid terbabit tidak tercicir daripada persekolahan.

No comments:

Post a Comment